Sambutan Maulidur Rasul

Author: nhazrini // Category: ,

Semalam (9.03.09), saya dan keluarga berkesempatan menyambut Hari Keputeraan Rasulullah s.a.w (12 Rabiulawal) di Masjid Tengku Mizan, Kerteh. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk mengingatkan kita sebagai umat akhir zaman kepada junjungan besar nabi kita iaitu Muhammad Rasulullah s.a.w. Dengan sambutan ini, akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kita kepadanya, di samping mengenang, menghargai dan mengambil segala iktibar dari kisah suka duka perjuangannya.

Antara acara yang diadakan di Masjid Tengku Mizan adalah seperti Selawat, Marhaban dan nasyid yg dipersembahkan oleh ustaz, pelajar-pelajar sekolah rendah kebangsaan kerteh dan juga sekolah rendah al-Amin…Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.

Aktiviti seterusnya yang akan diadakan di Masjid ini adalah Ceramah Maulidur Rasul pada 13 mac 09 (selepas maghrib). Tahun ini insyaallah saya dan keluarga akan mengikuti ceramah ini seperti tahun-tahun sebelum ini.


Untuk renungan bersama...Dipetik dari Jabtan Mufti Melaka

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.


Diantara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.


Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.


Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.



Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.



0 Responses to "Sambutan Maulidur Rasul"

Post a Comment